LIGA SSC-FAS 2021-SU FC II menang besar

KUCHING: Sarawak United FC II (SU FC II) mencatat kemenangan bergaya selepas membenam Samarahan FA (6-0) dalam perlawanan saingan Liga Perbadanan Sukan Sarawak (SSC)- Persatuan Bola Sepak Negeri Sarawak (FAS) 2021 Zon Selatan di Stadium Sarawak, Petra Jaya semalam.

Empat gol pada babak pertama tanpa berbalas jaringan menyaksikan SUFC II menguasai permainan sebelum dua lagi jaringan diledak pada masa kedua perlawanan.

Dua jaringan hasil kesilapan sendiri ketua pasukan Samarahan FA, Muhammad Zulhafiz pada minit ke-12 dan minit ke-39 jelas meneruskan aksi cemerlang SU FC II sebelum dua jaringan tambahan dihasilkan oleh Mohammad Zharmien Ismail minit ke-37 dan Aiman Joanny minit ke-45(+4).

SU FC II terus memburu gol sehingga berjaya menambah dua lagi jaringan pada babak kedua permainan menerusi Alphonsus Joseph minit ke-50 dan Gabriel Batistuta minit ke-85.

Pengurus pasukan SU FC II, Philip Jabu ketika diminta mengulas mengenai perlawanan mengakui berpuas hati selepas pemain berjaya menterjemah peluang yang ada dengan begitu baik.

“Keputusan kemenangan yang cukup membanggakan bagi kami. Apa yang pasti, tiga mata diperolehi hasil kerja keras para pemain,” jelas beliau lanjut.

Sementara itu, pesaing terdekat mereka Kuching City FC II (KC FC II) turut mencatat kemenangan besar (5-0) ke atas Serian FA di Padang D, Petra Jaya semalam.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak