Lima penyandang DUN di Miri mungkin dikekalkan

MIRI: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg membayangkan lima penyandang kerusi Dun di Miri akan dikekalkan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) akan datang.

Namun katanya, hanya Pujut yang tidak termasuk dalam pasukan GPS.

“Di Miri kita ada pasukan yang bekerja kuat seperti penyandang kerusi Dun Senadin (Datuk Seri Lee Kim Shin – SUPP), Piasau (Datuk Sebastian Ting Chiew Yew – SUPP), Marudi (Datuk Dr Penguang Manggil – PDP), Lambir (Dr Ripin Lamat – PBB) dan Bekenu (Datuk Rosey Yunus – PBB).

“Insya-Allah kesemua penyandang kerusi terbabit akan dikekalkan supaya mereka dapat membantu dalam pasukan besar GPS demi kepentingan semua.

“Tetapi ada satu yang bukan dalam pasukan kita (GPS) iaitu Pujut, namun terpulang kepada rakyat. Jika pengundi berkehendak agar Pujut menjadi salah satu pasukan kita, maka jadilah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Makan Pemimpin Bersama Rakyat di salah sebuah hotel terbuka dekat sini, malam tadi.

Abang Johari menyifatkan pemimpin di Sarawak sangat matang dalam berpolitik.

“Apabila mereka merasakan tidak berkemampuan lagi, mereka akan undur diri, tanpa paksaan.

“Suatu hari kelak apabila sampai masanya, saya juga begitu. Namun sekarang belum lagi tetapi itulah hakikatnya,” ujarnya.

Menambah lanjut, beliau menyatakan sebarang usaha membangunkan negeri merupakan hasil kerjasama semua ahli pasukan dan bukannya dibuat seorang diri.

Hadir sama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lee Kim Shin; Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew; Menteri Muda Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil; Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus dan mantan Adun Lambir Dr Ripin Lamat.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak