Masa depan PKR dilihat semakin malap – Dr Ammar

KUCHING: Masa depan Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin malap selepas PKR kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri Melaka ke-15 (PRN-15).

PKR tewas di semua 11 kerusi ditandinginya walaupun diperuntukkan paling banyak kerusi daripada rakan sekutunya daripada Amanah yang menang satu kerusi, sementara DAP memenangi empat kerusi.

Justeru, bagaimanakah masa depan dan hala tuju PKR dalam arena politik di Malaysia?  Menurut Penganalisis Politik Dr Ammar Redza Ahmad Rizal, PKR adalah parti yang bermula dengan perjuangan membebaskan seorang individu dan kemudian dimanifestasikan kepada perjuangan membentuk satu pembaharuan di peringkat kebangsaan.

Dr Ammar Redza Ahmad Rizal.

Mengikut garis masa, PKR melalui kerjasama bentuk baharu dengan pelbagai parti lain seperti DAP, Pas, PRM, Warisan, PPBM telah melalui kemuncaknya pada PRU-14 pada 2018.

“Akan tetapi, kegagalan PKR untuk menunaikan manifesto dan janjinya pada Pilihan Raya Umum ke-14 mendatangkan masalah.

“Pertamanya selepas langkah Sheraton dan beberapa siri keriuhan yang disebabkan perebutan ahli Parlimen menyebabkan masyarakat melihat PKR sebagai parti yang tidak sabar untuk menggarap kuasa puncak sebagai perdana menteri.

“Apatah lagi apabila PKR dalam kalangan akar umbi dilihat gagal untuk mengawal hegemoni Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan DAP dalam Pakatan Harapan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, PRN Melaka adalah salah satu manifestasi dan mungkin detik permulaan kepada prestasi lemah PKR termasuk pada PRN Sarawak nanti.  “Apatah lagi mereka dibelenggu dengan kemahuan untuk memperoleh kuasa walau dalam apa-apa jua cara sekalipun,” ulasnya.

Dr Ammar juga berpendapat dalam masa terdekat, PKR berkemungkinan mempunyai peluang tipis untuk menang dalam PRN Sarawak.  Ketika ini katanya, GPS memperlihatkan sumbangan mereka kepada rakyat Sarawak terutama melalui projek-projek pembangunan setempat.

Sementara itu, Penganalisis Politik Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Madya Dr Lee Kuok Tiung juga mendedahkan bahawa berkemungkinan besar PKR di Sarawak akan mengalami nasib yang sama di Melaka.

“Ia disebabkan perpecahan yang berlaku selepas PRU-14 dan ketiadaan kepimpinan yang mantap seperti Baru Bian. “Ramai pemimpin PKR yang membangunkan PKR Sarawak telah meninggalkan parti berkenaan setelah berpecah,” ujarnya.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak