“Mengendalikan pandemik sebagai barisan hadapan bukanlah mudah”

MIRI: Berkhidmat sebagai barisan hadapan di negara orang bukan sesuatu yang mudah apatah lagi pergerakan masuk sempadan antarabangsa masih tidak dibenarkan.

Rindu kepada keluarga di kampung halaman sukar digambarkan dengan kata-kata.

Itu yang dihadapi Tracy Jantom, 26, yang bertugas sebagai jururawat unit penyakit berjangkit di sebuah hospital di Singapura sejak empat tahun lalu.

Gadis cantik dari Miri ini berkata dia sangat gembira selepas mendapat tahu rentas negeri dibenarkan termasuk rakyat Sarawak dari luar negara untuk kembali ke tanah air.

“Saya gembira tak terkata. Terus minta kebenaran dari pengurus untuk balik dan merancang sehabis baik semua cuti,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Tracy merupakan lepasan Ijazah Kejururawatan di London menamatkan pengajiannya sebelum memulakan karier di Singapura.

Baginya, saat kepulangan ke Bumi Kenyalang merupakan detik yang dinantikan selama ini.

Malah dia sempat berkongsi video menerusi aplikasi TikTok dengan merakam perjalanannya sebelum tiba ke Miri.

Ditanya mengenai apa yang mendorong semangatnya dalam menghadapi situasi sukar seorang diri di luar negara, kata Tracy, keluarga adalah segalanya.

“Mereka (keluarga) menjadi sumber kekuatan diri saya untuk terus bertahan.. merekalah menjadi pendorong saya ketika menghadapi detik sukar seorang diri di negara orang.

“Tanpa keluarga, mungkin saya tidak mampu untuk bertahan.

“Walaupun jauh, kami berinteraksi menggunakan panggilan video.. zaman sudah berubah.. jadi kita mesti gunakannya.

“Yang jauh menjadi dekat walaupun jarak fizikal beribu batu sekalipun,” katanya.

Bagi Tracy, apa yang dilakukan semua demi membahagiakan kedua ibu bapanya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak