Michael Manyin tidak bertanding PRN-12

SERIAN: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu Datuk Amar Michael Manyin Jawong mengesahkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) ini.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi (MESTR) itu juga berkata, tiada siapa yang memaksa beliau untuk membuat keputusan sedemikian dan ia juga adalah terbaik untuk dirinya.

“Saya tidak kecewa dengan perkara ini, saya tidak menyesal… ini juga dilakukan secara sukarela dan tiada siapa yang memaksa saya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kolokium Kepimpinan Pendidikan 2.0 Pejabat Pendidikan Daerah Serian di Hotel Roxy, di sini, hari ini.

Manyin yang menyandang kerusi DUN Tebedu selama lima penggal menambah keputusan itu juga telah dimaklumkan kepada Ketua Menteri merangkap Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Keputusan ini rasmi, saya juga sudah bercakap perkara ini sejak tahun lepas bukan sekarang,” ujarnya.

Menjelas mengenai perancangan selepas bersara daripada karier politik katanya, beliau akan mengusahakan kebun durian dan akan menghabiskan masa bersama-sama dengan cucu-cucunya.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak