Nelayan ugut bunuh ibu dipenjara tujuh bulan

KUCHING: Seorang nelayan dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengugut membunuh ibunya.

Tertuduh Rizal Umar, 38, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkapan pada 7 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah terhadap ibu kandungnya di kediaman mereka di Kampung Sri Maimunah, sekitar jam 7 pagi, 4 Ogos lepas.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh mengamuk selepas ibunya menegurnya agar berhenti menjerit dan berteriak tanpa sebab kira-kira jam 7 pagi di hadapan sebuah surau.

Difahamkan, tertuduh pada masa itu berada dalam pengaruh alkohol dan dadah.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak