NTL 2021: Sarawak azam tampil aksi terbaik

KUCHING: Pasukan Sukan Touch Sarawak tidak meletak sebarang sasaran disebalik penampilan sulung mereka dalam Liga Sukan Touch Kebangsaan (NTL) 2021 yang akan berlangsung di Putrajaya pada 11 dan 12 Disember depan.

Namun, mereka tetap berazam memberikan satu persembahan terbaik pada kejohanan berprestij itu kelak.

Presiden Persatuan Sukan Touch Sarawak (STA), Hafisz Rachman Drahman berkata tugas mencabar menanti pemain pada NTL 2021.

“Dengan persiapan yang agak terbatas ekoran menerima jemputan pada saat akhir daripada badan induk Persatuan Sukan Touch Malaysia (MTA), sebab itu kita tidak mahu meletak sebarang sasaran kepada pemain” katanya kepada Arena Suata Sarawak.

Tambah Hafisz, fokus utama pasukannya menyertai kejohanan ini untuk memberi pendedahan kepada pemain.

“Memang ada pemain yang berpengalaman tetapi masih banyak perkara yang perlu mereka pelajari,” jelasnya.

Skuad kendaliannya itu akan berentap dalam kategori Berpasukan Campuran Terbuka daripada lima kategori yang dipertandingkan iaitu Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Lelaki 30 Tahun, Lelaki 40 Tahun dan Lelaki 50 Tahun.

Suara Sarawak