Nur Ain kongsi rezeki jus kunyit

KUNYIT merupakan sejenis tumbuhan herba tradisional yang diguna dalam perubatan sejak dahulu lagi.

Khasiatnya terbukti setelah berjaya merawat kesihatan dan kecantikan khususnya wanita, sama ada dari segi dalaman atau luaran.

Melihat manfaatnya, Nur Ain Haron, 29, anak jati Kuching mengambil peluang ini untuk membuka perniagaan Jus Kunyit Ain (Balqis Aeyin Enterprise).

Dia yang juga berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Astana berkata, perniagaan itu diusahakan sejak 2016 untuk menjana pendapatan sampingan.

“Dahulu pelbagai penyakit datang, saya sering mengalami sakit badan, lenguh dan haid tidak teratur.

“Ibu mencadangkan saya agar minum jus kunyit.

Ternyata hasilnya sangat berkesan setelah sering mengamalkannya,” katanya kepada Suara Sarawak.

Menurutnya, ramai yang menegur perubahannya dari segi keterampilan setelah mengamalkan minum jus kunyit berkenaan.

“Bermula dari situ, ramai yang menyoal, apa yang saya amal. Saya beritahu mereka, saya hanya minum jus kunyit buatan sendiri di rumah.

“Kemudian, mereka menyarankan saya untuk menjual jus kunyit. Itulah permulaan saya bertapak dalam bidang perniagaan ini.

“Saya hanya menjual jus kunyit dalam talian dan harga sebotol RM12 untuk penduduk Kuching, RM13 untuk Samarahan dan RM15 untuk luar Kuching katanya.

Menurut Nur Ain, jus tersebut 100 peratus daripada kunyit hidup segar, tiada penggunaan pewarna dan serbuk kunyit serta tiada bahan pengawet.

Jus kunyit ini dibuat bukan untuk wanita sahaja, tetapi golongan lelaki dan kanak-kanak juga boleh meminumnya.

Antara keistimewaannya, boleh mengawal berat badan, menambah tenaga, awet muda, menghalang pembiakan kanser, mengatasi masalah bau badan dan kencing manis, mengatasi sembelit, melancarkan peredaran darah, merawat kulit dan banyak lagi.

“Alhamdulillah, setakat ini saya mendapat maklum balas positif daripada pelanggan.

Kata mereka, jika mereka berhenti minum jus kunyit ini, badan mereka akan kembali sakit, senggugut dan rasa malas.

“Ibu yang baru melahirkan anak atau mengandung juga boleh minum jus ini,” ujarnya.

Menariknya lagi, ia berfungsi untuk membersihkan bahagian dalaman dan menyuburkan wanita yang susah mendapat anak.

NUR Ain Haron memproses jus kunyit

“Berkat sabar dan yakin akan khasiat jus ini, dengan kuasa Tuhan, ada pelanggan yang sudah menanti cahaya mata 15 tahun akhirnya berbadan dua,” katanya.

Selain itu, Nur Ain menjelaskan jus kunyitnya boleh diamalkan setiap hari dan tidak mengganggu kesihatan.

“Memang ada saya dengar orang mengatakan, air kunyit tidak boleh diamalkan selalu kerana bahannya panas dan boleh menyebabkan peranakan kering.

“Hakikatnya, jus kunyit saya boleh diminum setiap hari kerana pembuatannya adalah berbeza dengan orang lain.

“Biasanya orang menggunakan ibu kunyit, tetapi saya hanya memakai anak kunyit.

Oleh itu, ia boleh diamalkan setiap hari kerana tidak terlalu panas seperti ibu kunyit,” jelasnya lanjut.

Bercerita mengenai cabaran yang dihadapi, Nur Ain meluahkan rasa sedih dan kecewa apabila terpaksa menanggung kerugian kerana jus kunyit yang sampai kepada ejen sudah tidak elok.

“Jus tersebut tidak dapat diminum lagi sebab pengeposan kepada ejen-ejen saya yang berada jauh dari Kuching iaitu dia tinggal di Bintulu mengambil masa yang lama.

“Akibatnya, kami terpaksa menggantikan semula jus-jus tersebut dan membayar gaji pekerja seperti biasa,” katanya.

Dalam pada itu, dia menerangkan ketika mula-mula berniaga, dia menguruskan semua proses jus kunyit seorang diri.

“Pada masa itu, pernah sekali pergelangan tangan saya terseliuh dan kembang kerana terlalu gigih mengupas kulit lapisan luar kunyit,” katanya.

“Namun kini saya sudah mengambil empat pekerja membantu saya untuk mencuci, memproses jus kunyit, dan pembungkusan,” katanya.

Jelasnya, dia mula menggaji pekerja pada 2020 untuk meringankan beban.

PRODUK jus kunyit yang dijual segar dan berkhasiat

“Mengumpul wang sedikit demi sedikit, akhirnya saya dapat membeli sebuah mesin berharga RM7,000.

“Dulu modal permulaan saya sebulan adalah RM5,000 tetapi sekarang RM5,000 adalah modal mingguan saya.

“Malah, kini saya juga memiliki kira-kira 40 ejen di seluruh Sarawak dan ada juga di Sabah,” tambahnya.

Ain berkata, ejennya berada di Miri, Bintulu, Sarikei, Sibu, Betong, Kapit, Mukah, Lundu, Sematan, Bau, Serian, Samarahan, Kuching, Sebuyau, Meludam dan Sri Aman.

“Saya berimpian untuk mempunyai kilang pemprosesan, sebab sekarang permintaan melebihi penawaran.

“Kami terpaksa mengehadkan stok jus kunyit satu hari hingga 80 botol untuk 500 mililiter dan 15 botol untuk 150 mililiter.

Sehubungan itu, dengan nikmat yang diberi, Nur Ain turut berkongsi rezeki dengan orang lain.

Menurut Nur Ain, perkara penting dalam hidupnya adalah sedekah.

“Alhamdulillah saya bersyukur dengan rezeki yang ada, saya dapat berkongsi dengan anak yatim.

“Saya juga pernah menjadi penaja untuk filem Drama Damai yang ditayangkan di saluran TVS yang dilakonkan oleh Anding Indrawani dan Lidya Yusreena.

“Saya berharap pada masa akan datang, saya dapat membuat pembungkusan jus kunyit dalam tin dan minuman kotak lebih bervariasi dan memudahkan pelanggan membawanya ke mana-mana,” tambahnya.

Akhir sekali, Nur Ain berpesan kepada peniaga lain agar tidak mudah berputus asa meskipun ramai yang terjejas ekoran Covid-19.

“Percayalah rezeki Allah SWT sentiasa ada dan untung rugi dalam niaga itu adalah lumrah kehidupan.

Paling penting, doa dan usaha,” tegasnya.

Bagi orang ramai yang berminat untuk membeli Jus Kunyit Ain, hubungi beliau di Facebook Balqis Aeyin atau Jus Kunyit Ain.

Pelanggan juga boleh menghubungi Nur Ain di WhatsApp, 0128707259.

 

NUR Ain bersama-sama anak yatim.

 

 


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak