Operasi SAR Muhd Ramadhan diteruskan

KUCHING: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mencari kanak-kanak lelaki autisme yang hilang di Kampung Rantau Panjang, Batu Kawa di sini diteruskan hari ini.

Operasi SAR yang memasuki hari kedua turut dibantu Unit Anjing Pengesan Bomba Sarawak, Unit Drone Bomba Sarawak serta penduduk kampung.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, operasi ditangguhkan pada jam 11.30 malam tadi setelah penilaian risiko dilakukan serta faktor keselamatan semua di lokasi.

Terdahulu katanya, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 7 malam semalam sebelum mengerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang ke lokasi kejadian.

Jelasnya, menurut maklumat dari bapa mangsa, anaknya Muhd Ramadhan Muhd. Ridhwan, 8, tinggal bersama ibu saudaranya sementara bapanya keluar berniaga.

“Sewaktu ibu saudaranya mandi, mangsa telah keluar daripada rumah.

“Pada waktu kejadian, cuaca adalah hujan lebat kira-kira jam 2 ke 3 petang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pakaian terakhir yang dipakai oleh Muhd Ramadhan adalah baju berbelang dan seluar pendek berwarna hitam.

Mangsa setakat ini masih belum dijumpai.

UNIT.. Anjing Pengesan Bomba Sarawak digunakan dalam operasi SAR bagi mengesan Muhd Ramadahan.

Suara Sarawak