Padah curi jam tangan, lelaki dipenjara tiga bulan

KUCHING: Padah mencuri seutas jam tangan berharga RM189.90, seorang lelaki dijatuhi hukuman tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Haziq Mikhail, 27, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkapan pada 7 Oktober lepas.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri seutas jam tangan milik sebuah kedai di dalam sebuah pusat beli belah, Jalan Matang di sini, kira-kira jam 11.15 pagi, 27 September lepas.

Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, tertuduh yang berpura-pura hendak membeli jam meminta pemilik kedai mengeluarkan lima utas jam tangan untuk dilihat.

Kemudian, tertuduh terus beredar selepas melihat jam tangan berkenaan dan pengadu menyedari seutas jam tangan berharga RM189.90 telah hilang.

Pengadu kemudian membuat semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tertuduh telah mencuri seutas jam di dalam kedai miliknya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak