Padah curi kabel Sesco, lelaki dipenjara 3 bulan

KUCHING: Seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara tiga bulan atau denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan mencuri segulung kabel elektrik milik syarikat Sesco Efacec Sdn Bhd, Oktober lalu.

Tertuduh Mohd Hafiz Mortada, 23, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri segulung kabel di kawasan premis syarikat berkenaan di Jalan Sungai Periok di sini, sekitar jam 1.55 pagi, 31 Oktober lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Hasil siasatan mendapati tertuduh dan seorang rakan wanita telah bersama-sama melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri kabel milik syarikat Sesco.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak