Padah langgar polis bertugas, buruh dipenjara enam bulan

KUCHING: Gara-gara melanggar anggota polis yang bertugas di kawasan Perintah Kawalan pergerakan Diperketatkan (PKPD) menggunakan sebuah motosikal, seorang buruh dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Sazeli Rohana, 21, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja melanggar seorang anggota polis yang bertugas menggunakan motosikal hingga menyebabkan kecederaan berhampiran jalan Masjid Darul Salam kira-kira jam 9.30 malam, 26 Julai lepas.

Oleh sebab itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintah tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh reman pada 30 Julai lalu.

Selain itu, tertuduh didapati telah keluar dari rumah tanpa kebenaran PDRM di dalam kawasan PKPD tanpa alasan yang munasabah.

Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak