Padah ugut bakar bapa, lelaki dipenjara enam bulan

KUCHING: Padah ugut bunuh dan berniat membakar bapa sendiri, seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman bermula tarikh reman 25 Mei lepas.

Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman terhadap Morris Siang, 30, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapannya.

Mengikut pertuduhan, dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut bapanya Siang Lapau,58, dalam kejadian di sebuah rumah, Jalan Stapok Utama, Batu Kawa, sekitar jam 1.00 petang, 20 Mei lepas.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, tertuduh telah mengamuk lalu mengugut bunuh bapa dengan mengeluarkan kata-kata “Kau tidur nyenyak-nyenyak dan aku boleh membakar kau hidup-hidup”.

Mangsa yang ketakutan dan bimbang akan keselamatan diri lalu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, sebelum kejadian tertuduh dan mangsa minum minuman keras di kediaman mereka.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak