Pastikan Abang Johari terus diberi mandat PRN-12: Jerip Susil

PADAWAN: Rakyat perlu memberi mandat kembali kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diterajui oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg agar pembangunan di negeri ini dapat diteruskan.

Penyandang Dun Mambong Datuk Dr Jerip Susil berkata, sepanjang perkhidmatan Abang Johari sebagai Ketua Menteri, beliau telah melaksanakan tugas dengan cukup cemerlang serta mempunyai wawasan untuk menjadikan negeri ini maju menjelang tahun 2030.

Malah katanya, Abang Johari telah melaksanakan beberapa perkara termasuk menuntut semula hak Sarawak yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Buktinya, kita dapat melihat beliau mengenakan cukai jualan negeri (SST) lima peratus untuk hasil minyak dan gas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan tapak projek transformasi luar bandar (RTP) di Dewan Serbaguna Kampung Taba Sait, Skim Penempatan Semula Bengoh, di sini hari ini.

Katanya, dengan wawasan dan kebijaksanaan Abang Johari, Sarawak mempunyai hasil tambahan untuk membangun negeri ini.

Tambahnya, hasil tambahan dapat digunakan untuk merancang pembangunan di Sarawak yang disalurkan kepada agensi pembangunan yang ada pada negeri ini.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak