Paulownia angkat Sarawak ke peta

KUCHING: Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TSG Green Sdn Bhd Datuk Chris Chung memberi jaminan bahawa pokok RT- Paulownia boleh meletakkan Sarawak sebagai pembekal utama kayu mampan di peta dunia.

Dikenali sebagai kayu aluminium, beliau memaklumkan bahawa pokok itu mendapat permintaan tinggi di seluruh dunia disebabkan pertumbuhan yang cepat dan keupayaan mengeluarkan kayu berkualiti.

“Yang menjadikan pokok Paulownia unik adalah keupayaannya untuk tumbuh semula ke pokok lain yang boleh dituai semula selepas tempoh matang.

“Kitarannya boleh berulang sendiri kepada empat hingga lima kali lagi dan secara tidak langsung menjimatkan pelaburan industri bagi penanaman semula,” katanya pada Majlis Perasmian Makmal Kultur Tisu RT Paulownia yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Tambah beliau, kayu yang dihasilkan daripada pokok Paulownia dapat digunakan bagi industri pembinaan, bahan bangunan, alat muzik dan perabot.

Manakala di negara seperti Jerman katanya, pokok Paulownia digunakan industri seperti bahan api bio.

Jelas Chris, Makmal Kultur Tisu RT Paulownia yang pertama dibangunkan di Sarawak ini akan menghasilkan klon RT Paulownia dengan menggunakan bioteknologi daripada kultur tisu.

Buat masa ini katanya, makmal itu boleh mengeluarkan purata 1,800,000 klon RT-Paulownia setahun bagi memenuhi permintaan industri.

“Makmal kultur tisu kami bersedia untuk menghasilkan 3.6 juta tumbuhan RT-Paulownia dalam tempoh dua tahun akan datang, dan lebih banyak lagi dengan kapasiti kami yang semakin meningkat.

“Inisiatif ini sekali gus menyokong usaha kerajaan negeri untuk menanam semula 35 juta pokok menjelang 2025,” tambahnya.

Sehubungan itu katanya, penduduk tempatan Sarawak kini mempunyai pilihan untuk menanam pokok Paulownia ini.

“Dari sudut pandangan kemampanan ekonomi, RTPaulownia mempunyai pilihan yang sangat berdaya maju, disebabkan permintaan global yang semakin meningkat.

“Tidak kira di tanah terbiar seluas lima atau sepuluh ekar, ini adalah alternatif yang sangat praktikal, kepada tanaman lain seperti kelapa sawit.

“Justeru, TSG Green akan bekerjasama dengan bakal rakan kongsi dan komuniti setempat, untuk berkongsi pengetahuan tentang penanaman dan penjagaan Paulownia bagi memastikan hasil dan kualiti dapat dicapai, menambah nilai tanah terbiar, dan menjana pendapatan lumayan kepada pemilik tanah,” jelasnya.

Mengulas mengenai alam sekitar, Chris memaklumkan bahawa pokok RT- Paulownia ini juga mampu mempengaruhi dasar global mengenai perubahan iklim.

Jelasnya, dalam Rancangan Malaysia Ke-12, negara meletakkan sasaran untuk menjadi neutral karbon menjelang 2050 dan pokok RT-Paulownia adalah cara bagi pelaksanaan visi ini dalam memberi kesan positif terhadap perubahan iklim.

“Ia diiktiraf sebagai sinki karbon, mampu menyerap gas rumah hijau dengan cekap dan berkesan, tidak menyebabkan sebarang kesan terhadap sistem perhutanan sedia ada bertepatan dengan moto TSG iaitu ‘Mengharmonikan Alam Semula Jadi’,” jelasnya.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Pengarah Hutan Sarawak Datuk Hamden Mohammad dan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Datuk Abdullah Julaihi turut hadir.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak