Pecahkan pinggang mangkuk ibu, penganggur didenda RM2,500

KUCHING: Seorang penganggur didenda RM2,500 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan melakukan khianat dengan memecahkan pinggan mangkuk rumahnya.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap Rahman Ramlee, 35, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di kediamannya di Tabuan Park, kira-kira jam 8.20 pagi, 27 Oktober lalu.

Oleh itu, dia didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, dia bertengkar dengan adik perempuannya pada hari kejadian hingga menyebabkan insiden mengamuk berlaku.

Tertuduh kemudian membaling pinggan mangkuk milik ibunya di kawasan ruang tamu rumah.

Susulan itu, ibunya telah membuat laporan polis sehingga membawa kepada tangkapan tertuduh pada hari yang sama.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak