Pembahagian kerusi sudah dibincang

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah berbincang mengenai pembahagian kerusi antara keempat-empat parti komponennya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12).

Perkara tersebut didedahkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi GPS pada sidang media khas bertempat di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP). Sementara apabila ditanya adakah GPS sudah mengenal pasti calon yang akan bertanding, Abang Johari dengan nada bergurau berkata, anda semua lihat kami di sini, sambil menunjuk ahli kabinet yang hadir.

Beliau enggan mengulas lebih lanjut kerana menurutnya masih terlalu awal.

“Tunggu dahulu, Dun baharu sahaja dibubar, jangan tergesa-gesa. Nanti ada orang kata tergesa-gesa, kami tidak tergesa-gesa,” katanya ringkas.

Ditanya bilakah PRN akan diadakan, Abang Johari berkata ia terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya difahamkan SPR akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan mengenai tarikh hari penamaan calon dan hari mengundi,” jelasnya.

Tambah Abang Johari, Dun Sarawak sudah bubar secara automatik berkuatkuasa 3 November 2021 selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan menamatkan proklamasi darurat dan ia merupakan keputusan yang sukar namun perlu dibuat bagi memberi laluan kepada PRN.

SPR pada Khamis berkata, akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh pelaksanaan PRN-12 susulan penamatan rasmi Proklamasi Darurat setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing, Timbalan Presiden PRS Datuk Joseph Salang dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak