Penduduk Sebuyau bakal dapat manfaat projek bekalan air bernilai RM93 juta.

SEBUYAU: Penduduk di daerah Sebuyau bakal mendapat manfaat besar dengan pelaksanaan tiga Projek Bekalan Air berimpak tinggi yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri bernilai RM93 juta.

Menteri Utiliti Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, projek tersebut sedang rancak dilaksanakan itu bagi menambah baik infrastruktur serta sistem bekalan air di Daerah Kecil Sebuyau.

“Setakat ini, kesemua tersebut menunjukkan kemajuan yang memuaskan serta prestasi kerja yang memberansangkan walaupun berdepan dengan cabaran pelaksanaan susulan pandemik.

“Projek tersebut juga dijangka melonjakkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat terutama dalam bidang pertanian sekali gus menjamin kualiti kehidupan yang lebih baik kepada penduduk di sini,” katanya semasa mengadakan lawatan ke Projek Bekalan Air Daerah Kecil Sebuyau di sini, semalam.

Antara tiga projek berkenaan adalah termasuk pakej 3A iaitu transmisi utama dari jambatan Batang Sadong ke tangki aras tinggi Sebangan, yang menelan kos sekitar RM32 juta.

Manakala projek kedua, pakej 3B iaitu projek bernilai sekitar RM23 juta yang melibatkan pemasangan saluran paip baharu sejauh 11km daripada Sebangan ke Tebelu, dan pembinaan sebuah tangki aras tinggi di Sebangan berkapasiti 2.5 juta liter.

Sementara projek ketiga, iaitu pakej 3C iaitu projek bernilai sekitar RM38 juta melibatkan pemasangan saluran paip baharu sejauh 13km daripada Tebelu ke Sebuyau.

Suara Sarawak