Penganggur ditahan terlibat dadah

MUKAH: Seorang penganggur berusia 30 tahun ditahan polis di hadapan sebuah rumah tidak bernombor Jalan Mukah-Selangau selepas disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah, hari ini.

Suspek ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Mukah Selangau tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superitenden Muhamad Rizal Alias berkata, lelaki tersebut ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah menerusi Ops Tapis sekitar jam 12.20 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan, kita merampas satu peket kecil lutsinar berisi ketulan kristal di dalam genggaman tangan kanan suspek yang disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan berat kasar 0.45 gram dengan nilai anggaran RM50,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek terlibat dengan penagihan dadah jenis syabu sejak tahun 2017 sehingga sekarang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suara Sarawak