PRN-12 Sarawak: 18 Disember 2021 ditetapkan hari mengundi

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember 2021 sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata hari penamaan calon pada 6 Disember dan tarikh mengundi awal pada 14 Disember.

“Tempoh berkempen ditetapkan 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 6 Disember 2021 (Isnin) sehingga jam 11.59 malam, 17 Disember 2021 (Jumaat),” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas bagi PRN-12 Sarawak, di sini hari ini.

Beliau berkata seramai 46,565 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRN-12 Sarawak.

Manakala, katanya sebanyak 1,866 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 3,555 tempat mengundi/ saluran dan 85 pusat mengundi awal bagi mengundian yang mengandungi 111 tempat mengundi/ saluran awal akan digunakan.

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 1,951 buah dengan 3,666 tempat pengundian/ saluran,” katanya.

Abdul Ghani menambah PRN-12 Sarawak dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM150 juta.

PRN-12 Sarawak sepatutnya diadakan selepas penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tamat pada 6 Jun lalu namun ditangguhkan susulan pengisytiharan Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong bermula 2 Ogos hingga 2 Februari 2022.

Proklamasi Darurat kemudian ditamatkan pada 3 November lalu.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak