PRN-12 Sarawak: SPR sasar 70 peratus keluar mengundi

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak pada 18 Disember nanti.

Justeru, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata bagi menggalakkan pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari mengundi, SPR akan melaksanakan kempen `Jom Kita Undi`.

“SPR akan melaksanakan kempen `Jom Kita Undi` melalui pelbagai saluran media termasuk di media elektronik, media sosial, hebahan melalui siar raya dan pemasangan kain rentang di lokasi-lokasi strategik tumpuan awam dan tempat-tempat lain yang bersesuaian,” katanya selepas Mesyuarat Khas bagi PRN-12 Sarawak, di sini hari ini.

Pada masa sama, katanya SPR juga memohon kerjasama semua pihak termasuk pihak media dan parti-parti politik agar turut mengambil langkah untuk menyeru dan menggalakkan pengundi supaya keluar mengundi.

Sementara, Abdul Ghani berkata SPR juga akan meneruskan penambahbaikan.

“Syarat-syarat kelayakan pengundi pos Kategori Luar Negara seperti yang dilaksanakan sebelum ini telah dimansuhkan iaitu bermastautin di luar negara kecuali di Wilayah Selatan Thailand (Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun), Singapura, Brunei dan Kalimantan, Indonesia.

“Selain itu adalah pernah berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia tidak kurang daripada 30 hari dalam tempoh 5 tahun sebelum tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri yang sedang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau menambah SPR turut menyediakan saluran khusus bagi pengundi yang berumur 60 tahun dan ke atas di setiap Pusat Mengundi, memanjangkan tempoh masa pengundian selama 30 minit dari jam 7.30 pagi hingga 5 petang berbanding pada PRU-14 iaitu dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Pada masa sama, katanya pengundi-pengundi Orang Kurang Upaya (OKU) akan mengundi di Saluran 1.

“Seramai 13,871 orang pengundi OKU telah dikenal pasti dan mereka adalah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak