PRN Sarawak: PN harus memberi sokongan kepada GPS

KUCHING: Perikatan Nasional (PN) tidak sepatutnya ikut bertanding untuk Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) kali ini sebaliknya memberi sokongan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS), kata Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menurutnya, kerajaan GPS telah menunjukkan sokongan kepada PN untuk menstabilkan kerajaan di peringkat persekutuan.

“Justeru, ini adalah masa yang tepat untuk PN menunjukkan sokongan mereka kembali dengan membantu dan menyokong GPS pada PRN-12 akan datang,” katanya selepas melakukan lawatan tapak pembinaan blok baharu di SK Rakyat, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau juga menyatakan bahawa GPS telah melaksanakan tugas dengan baik dalam menguruskan negeri bukan sahaja pada musim pandemik, tetapi dalam menangani krisis serta menstabilkan ekonomi dengan membantu rakyat.

“Sarawak adalah satu-satunya negeri yang banyak memberi peruntukan untuk membantu rakyat dari segi bantuan kewangan termasuk sektor perniagaan,” ujarnya.

Ditanya mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh PN Sarawak berhubung pembahagian kerusi PRN-12 telah diserahkan kepada pucuk kepimpinan tertinggi mereka dan kebijaksanaan Pengerusi GPS, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menyatakan bahawa beliau tidak pasti mengenai rundingan kerusi berkenaan.

Namun katanya, GPS sudah tegas dalam memutuskan bahawa mereka akan mempunyai 82 calon untuk PRN-12 nanti.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak