Program Kenyalang Tourism Booster galak industri pelancongan Sarawak

KUCHING: Program Kenyalang Tourism Booster berjaya menggalakkan industri pelancongan Sarawak dalam menyediakan lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan kepada masyarakat.

Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Hii Chang Kee berkata, ia melalui kolaborasi dinamik dalam ekosistem industri pelancongan Sarawak yang secara tidak langsung memberi manfaat kepada pelbagai industri pelancongan di negeri ini.

Jelasnya, beliau yakin program-program anjuran Kenyalang Tourism Booster 2021 ini dapat membawa lebih banyak suasana dan perhatian orang ramai terhadap industri pelancongan Sarawak yang akan meningkatkan kesedaran dan lebih ramai pelancong dan pengunjung ke Sarawak.

“Saya berharap ini akan memberi inspirasi dan rangsangan kepada anda semua untuk menceburi industri pelancongan, kesenian dan kebudayaan secara digital dan hibrid, lebih-lebih lagi dalam segmen pelancongan sukan, marin, eko dan budaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membaca teks ucapan mewakili Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, dalam program Kenyalang Tourism Booster@Damai, hari ini.

Tambah beliau, berikutan negara sudah memasuki Fasa Pemulihan, Kenyalang Tourism Booster merupakan salah satu inisiatif bagi membantu bukan sahaja industri pelancongan, kesenian dan kebudayaan, malah turut membantu usahawan tempatan.

Katanya, ini selari dengan hastag (#) Digital, Virtual, Online & Hybrid Community, Kenyalang Tourism Booster 2021.

Suara Sarawak