Program kerjasama Yayasan Sarawak-Jabatan Pendidikan Sarawak TERUS DIPERKASA

YAYASAN Sarawak diberi amanah oleh Kerajaan Sarawak membantu Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dalam menjalankan pelbagai program yang memberi manfaat dalam bidang pendidikan anak Sarawak terutama dalam pembiayaan pengajian tinggi.

Yayasan Sarawak terus beriltizam sebagai agensi yang berperanan sebagai pemangkin pembangunan pendidikan di Sarawak, pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk memperkenal Program Kerjasama Yayasan Sarawak – Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) yang bertujuan membantu JPNS melaksanakan program khas yang dianggap kritikal tetapi tiada peruntukan dalam bajet tahunan mereka.

JPNS merupakan agensi Persekutuan yang diberi tanggungjawab menjalankan proses berkaitan bidang pendidikan.

Peranan ini merangkumi proses pemberian pengetahuan, pertimbangan, kemahiran dan kebijaksanaan, serta proses pengajaran dan pembelajaran kepakaran khusus.

Salah satu tujuan utama pendidikan ialah mengajar budaya kepada generasi akan datang.

Pelbagai inisiatif dan pendekatan dirancang dan dilaksanakan dalam memastikan proses mencari ilmu tidak terhalang.

Namun hakikatnya, tidak semua program dan perancangan dapat dilaksanakan kerana memerlukan sokongan dan pembiayaan kos tambahan disebabkan peruntukan sedia ada hanya dibelanjakan untuk program yang dirancang pada tahun semasa.

Oleh itu, dalam memastikan segala perancangan kepelbagaian program tambahan ini tidak terbantut, Kerajaan Sarawak memainkan peranan dan tanggungjawab untuk bersamasama menggembleng tenaga dan idea melonjak serta memperkasa prestasi pendidikan Sarawak kepada tahap yang tertinggi.

“Berdiri Sama Tinggi Duduk Sama Rendah.”

Inilah hasrat dan matlamat utama Kerajaan Sarawak dalam mendukung bidang pendidikan Sarawak dan juga tiada lagi jurang besar berlaku dalam proses pendidikan di Bumi Kenyalang.

Antara program yang disenaraikan di bawah Program Kerjasama Yayasan Sarawak – Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) ialah: Jejak Sejarah Program ini adalah untuk memperkasa kompetensi dan kemahiran guru mata pelajaran Sejarah peringkat SPM.

Matlamat utamanya meningkatkan prestasi pencapaian mata pelajaran Sejarah peringkat SPM dari aspek peratusan kelulusan, peratus cemerlang dan juga Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP).
a. Holiday English Language Programme (HELP) Program ini memfokuskan kepada peningkatan tahap bahasa Inggeris dalam profesion perguruan.

b. Kem NILAM Peringkat Negeri Sarawak Program yang meningkatkan minat membaca dalam kalangan murid sekolah dan mengiktiraf murid yang mempunyai bacaan yang tinggi dan meluas. Calon yang terpilih ke kem ini, merupakan murid yang berjaya melalui pemilihan di peringkat daerah dan bahagian.

Seterusnya mewakili Sarawak ke Anugerah NILAM Peringkat Kebangsaan.

Program ini melibatkan pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah di Sarawak.

c. Program Menggilap Permata (ProMep) Sarawak Bagi meningkatkan Kompetensi guru dalam Pembelajaran Abad Ke-21 dari segi pedagogi, kurikulum dan pentaksiran.

d. Bengkel PerMata Usaha meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (PdP) guru matematik tambahan, penguasaan kemahiran proses matematik dan kemahiran berfikir secara berfikrah.

Selain itu, bengkel ini juga membantu meningkatkan minat murid terhadap pembelajaran matematik tambahan.

e. Peraduan Penulisan Kreatif Peraduan Penulisan Kreatif merupakan inisiatif menyediakan lapangan untuk murid berkarya bagi menzahirkan pemikiran secara kreatif dan seterusnya dapat menjana minda murid-murid. Peraduan ini terbuka kepada semua murid sekolah rendah dan sekolah menengah.

Karya yang ditulis ditawarkan dalam empat bahasa (bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Cina dan bahasa Iban). Sepuluh karya terbaik dalam setiap bahasa untuk sekolah rendah dan sekolah menengah diterbitkan dalam bentuk buku koleksi penulisan kreatif peserta.

f. I-LiP ( Information Literacy Programme ) Inisiatif ini bertujuan memantapkan pemahaman dan pengetahuan dalam kemahiran Literasi Maklumat.

Usaha ini juga merupakan kemahiran yang diperlukan oleh murid untuk mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber dengan betul dan sahih.

Kemahiran maklumat ini juga merupakan elemen penting dalam keperluan pembelajaran abad ke-21 yang berpaksikan era digital, murid berfikir secara kreatif, kritis dan inovatif, kemahiran komunikasi yang berkesan dan penghasilan kerja yang tinggi.

g. ReaP Camp (Read and Play Camp) Program diperkenalkan untuk menggalakkan tabiat membaca dalam kalangan murid prasekolah pada peringkat awal persekolahan lagi.

Program ini mendidik murid memahami dan mengaplikasikan apa-apa yang dibaca.

h. Program Pembangunan Bola Sepak Yayasan Sarawak dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Program ini melibatkan pelajar berumur 11 dan 16 Tahun.

Ini bertujuan membolehkan seseorang murid itu sihat dari segi mental, fizikal, menanamkan semangat berpasukan serta memupuk nilai integrasi dan kemenjadian murid selaras konsep Malaysia dan Dasar 1Murid 1Sukan.

Selain itu, program ini juga dapat memberi pendedahan kepada pemain muda yang berpotensi dan berbakat supaya fokus dalam meningkatkan tahap disiplin, kemahiran bermain, ketahanan mental dan fizikal, menjadi pelapis kepada pasukan bola sepak Sarawak serta dapat mencungkil bakat murid sekolah rendah dan menengah bagi meneruskan kecemerlangan dalam bidang sukan.

Dengan adanya kepelbagaian program Kerjasama antara Yayasan Sarawak dengan JPNS yang dilaksanakan ini, bidang pendidikan Sarawak tidak ketinggalan dan memastikan setiap objektif program dapat direalisasikan untuk melahirkan guru dan pelajar yang berilmiah dari pelbagai sudut seiring dengan arus kemajuan negara.

Yayasan Sarawak juga sentiasa fokus dalam memainkan peranan sebagai pendukung dalam bidang pendidikan di Bumi Kenyalang ini agar terus cemerlang sehingga ke peringkat tertinggi.

Ini bukti kerjasama yang baik antara Kerajaan Negeri dengan agensi Persekutuan yang pasti membuahkan hasil untuk manfaat bersama-sama.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak