Pusat judi dalam talian digempur, pemilik premis bersama tujuh operator Indonesia ditahan

KUCHING: Seorang pemilik premis warga tempatan bersama tujuh warga Indonesia ditahan polis kerana terlibat dalam sindiket judi dalam talian.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 16 tahun hingga 29 tahun ditahan dalam serbuan dilakukan oleh pasukan khas membanteras perjudian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching kira-kira jam 3.15 petang di sebuah apartment di Taman Seng Goon, di sini semalam.

Menurutnya, kesemua suspek telah diupah menjadi operator pengendalian judi dalam talian sejak tujuh bulan yang lalu dengan bayaran gaji sebanyak RM1,500 sebulan.

“Suspek akan membuat panggilan kepada pelanggan sebagai salah satu cara untuk mempromosikan judi dalam talian.

“Selain panggilan telefon, kesemua operator ini juga mempromosikan judi dalam talian dengan menggunakan aplikasi dan laman sosial seperti Whatsapp, Telegram, Wechat, Skype dan juga Facebook,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ashmon berkata, siasatan awal mendapati pusat judi ini beroperasi 24 jam sejak beberapa bulan yang lepas.

“Berdasarkan rekod dan transaksi yang berjaya disemak, dipercayai jumlah keuntungan kasar bagi sindiket tersebut sebanyak RM6,000 sehari.

“Sementara, jumlah keseluruhan hasil aktiviti bagi tujuh bulan mencecah RM1.26 juta,” katanya.

Beliau berkata, pasukan operasi turut merampas pelbagai peralatan termasuk enam unit monitor komputer, enam unit pemprosesan komputer (CPU), router, modem dan peralatan lain dalam menjalankan kegiatan tersebut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(g) Akta Rumah Judi Terbuka yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 serta penjara tidak melebihi tiga tahun dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak