Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak mula beroperasi 2024

KOTA SAMARAHAN: Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) yang dijangka beroperasi menjelang 2024 akan menjadi pemangkin kepada pembangunan industri bioperubatan Sarawak dalam menghadapi cabaran masa depan.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Amar Michael Manyin Jawong berkata, pusat tersebut dijangka akan mengumpul bakat-bakat di peringkat antarabangsa termasuk menarik syarikat bioperubatan global.

“Pembinaan pusat ini juga akan meningkatkan keupayaan penyelidikan Sarawak dalam penyakit berjangkit termasuk melengkapkan keupayaan dan kapasiti untuk menguji ubat, vaksin dan peralatan terhadap agen berjangkit.

“Selain membolehkan Sarawak mengesan, mendiagnosis dan meramalkan potensi wabak penyakit berjangkit. Malah akan melengkapkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani penyakit berjangkit di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pecah Tanah SIDC yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, Majlis Pembangunan dan Penyelidikan Sarawak (SRDC) akan memanfaatkan kemudahan pusat yang dibangunkan di tanah seluas 40 ekar tersebut dengan memberi tumpuan kepada dua tema teras utama.

“Iaitu membangunkan kapasiti dan pengetahuan terhadap ancaman pandemik masa hadapan melalui pembangunan modal insan dan menterjemah penyelidikan bioperubatan ke dalam aplikasi seperti alat diagnostik, rawatan dan vaksin,” jelasnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak