Rangkaian bandar kreatif Unesco

KUCHING: Sarawak komited untuk mengekalkan status bandar raya Kuching sebagai ahli dalam Rangkaian Bandar Kreatif Unesco menerusi Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Kerja yang ditubuhkan sebelum ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia termasuk menganjurkan pelbagai program dan inisiatif yang telah dirancang sebelum ini.

“Bandar raya Kuching telah diterima sebagai ahli Rangkaian Bandar Kreatif Unesco dalam bidang Gastronomi menerusi surat rasmi daripada Unesco pada 16 November lalu.

“Namun ini hanya permulaan bagi perjalanan yang panjang untuk dikekalkan. Seperti semua ahli bandar raya ini, Kuching dijangka meletakkan agenda 2030 sebagai nadi strategi dan rancangan pembangunan masa depan terutama Matlamat 11 ‘Menjadikan Bandar Inklusif, Selamat dan Berdaya Tahan,” katanya pada sidang media di sini.

Abdul Karim berkata, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan bersama MBKS dan DBKU teruja dan berbesar hati menerima penyenaraian tersebut.

“Penerimaan bandar raya Kuching sebagai ahli satu pencapaian yang cemerlang dan akan memberi kesan positif kepada pembangunan sosioekonomi tempatan.

“Ia juga akan meningkatkan keterlihatan dan imej positif Malaysia dan Sarawak di persada antarabangsa,” ujarnya.

Abdul Karim menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) serta pasukan yang memberikan tunjuk ajar, usaha dan tenaga dalam menghasilkan dokumentasi pencalonan itu.

“Permohonan tersebut mewakili sinergi antara institusi awam di peringkat Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan dengan sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Ia termasuk Culinary Heritage and Arts Society Sarawak (Chass), sebuah gabungan pemegang kepentingan yang ditugaskan untuk mempromosi dan memelihara tradisi gastronomi negeri dan Society Atelier Sarawak, yang sebelum ini menerajui permohonan yang berjaya untuk menyenaraikan Kuching sebagai Bandar Raya Kraf Dunia di bawah World Crafts Council,” jelasnya.

Abdul Karim turut berterima kasih kepada semua kumpulan etnik yang berbeza di negeri ini dengan menu warisan unik mereka dan teknik penyediaan makanan yang membantu Sarawak membina kes kukuh untuk dimasukkan ke dalam senarai Unesco UCCN.

“Penghargaan kami juga tujukan kepada pasukan yang telah banyak berusaha dan tenaga dalam menghasilkan dokumentasi pencalonan. Usaha anda telah mendapat ganjaran yang besar dengan pengumuman rasmi,” katanya.

Objektif UCCN adalah inisiatif yang diperkenalkan oleh Unesco pada 2004, untuk memupuk inovasi dan kreativiti sebagai pemacu ke arah pembangunan bandar yang mampan. Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Hii Chang Kee turut hadir.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak