Remaja warga Indonesia didenda, terlibat judi dalam talian

KUCHING: Seorang remaja warga Indonesia dijatuhi hukuman denda RM10,000 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan melakukan aktiviti perjudian dalam talian

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh berusia 16 tahun yang berasal dari Bengkayang, Indonesia.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan seterusnya.

Menurut pertuduhan, dia melakukan kesalahan tersebut menggunakan sebuah telefon pintar di sebuah rumah di Kampung Panglima Seman, sekitar jam 9.20 malam, 6 November lalu.

Oleh sebab itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4B (a) ARJT 1953 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap mesin judi dan penjara tidak melebihi lima tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak