Safiee dinamakan semula di Daro

DARO: Penyandang Dewan Undangan Negeri Daro Safiee Ahmad dinamakan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk kawasan tersebut.

Pengerusi parti tersebut Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan nama tersebut di hadapan lebih 300 hadirin di Dewan Masyarakat Daro di sini.

“Insya-Allah akan jadi Yang Berhormat lagi,” katanya merujuk Safiee ketika menyampaikan alu-aluan dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena lawatan sehari ke pekan tersebut.

“ Sidak mantan-mantan Yang Berhormat di sini juga akan dibuang mantannya,” sambungnya penuh makna.

Turut hadir pada majlis tersebut termasuk penyandang kerusi Dun Jemoreng Datuk Juanda Jaya dan penyandang kerusi Dun Balingian Yakub Arbi.

Sebelum itu, Ketua Menteri menghadiri perasmian Masjid Muhsinin, masjid baharu Daerah Daro yang berharga RM9.5 juta oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Masjid ini siap sepenuhnya pada 29 Oktober lalu.

Abang Johari kemudian turut menghadiri Majlis Pecah Tanah Bandar Baharu Daro dan Medan Selera Daro yang baharu.

Abang Johari menegaskan pentingnya penduduk di negeri ini, terutamanya di kawasan Daro bersatu untuk membolehkan pembangunan dibawa ke sini.

Pagi semalam, Abang Johari mengumumkan pembubaran Dun Sarawak berkuat kuasa pada 3 November lalu.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak