Saksi banyak sejarah pembangunan

KUCHING: Jambatan Gantung Satok yang menjadi ikon bandar raya Kuching mencatat banyak sejarah, sekali gus menyaksikan pembangunan di sini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan membina semula jambatan gantung berkenaan, yang dibina pada 1926 oleh Kerajaan Brooke, dibuat kerana jambatan ini telah menyaksikan pembangunan yang begitu luas di Kuching hingga ke kawasan Petra Jaya.

“Melihat kepada keadaan itu, ia dibina semula untuk generasi akan datang supaya mereka tahu akan sejarah bagaimana Kuching membangun menjadi sebuah bandar raya.

“Justeru, kerajaan telah membuat keputusan untuk membina semula Jambatan Gantung Satok ini sekali gus merasmikannya malam ini (semalam),” katanya dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Jambatan Gantung Satok di Medan Niaga Satok, malam Ahad.

Jambatan Satok. Gambar RAMIDI SUBARI

Menjelas lanjut, Abang Johari mendedahkan bahawa Charles Vyner Brooke yang menjadi Raja Putih Ketiga telah merealisasikan impian penduduk sekitar Kuching apabila membina jambatan gantung tersebut dengan mengupah arkitek terkemuka Eropah, A.S Lowe iaitu adik kepada C.P.Lowe (Pengarah Jabatan Kerja Raya pada ketika itu).

Pembinaan jambatan tersebut bermula pada 1920 dengan anggaran kos AS$52,000, dan siap sepenuhnya pada 1926.  “Jambatan ini selain ia berfungsi untuk menyeberangi sungai, ia juga berfungsi untuk membawa paip air dari kawasan Matang ke bandaraya Kuching.

Sememangnya jambatan ini mempunyai banyak sejarah dan ia perlu dibina semula untuk merancakkan ekonomi dan menjadi tarikan pelancong,” jelasnya lagi.

Abang Johari juga mengucapkan tahniah kepada warga Kuching kerana memiliki Jambatan Gantung Satok yang serupa akan Golden Gate Bridge San Francisco, California yang  mempunyai sejarah yang begitu menarik sekali. “Atas kejayaan ini, kita diiktiraf di persada dunia.

Oleh itu, kita harus menjaga bandar raya Kuching ini. Menerusi kerajaan yang stabil dan prihatin, ia akan membawa Bandaraya Kuching ini ke arah pembangunan yang terus membangun di bawah Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” jelasnya.

Hadir sama, isteri Abang Johari Datin Patinggi Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.  Turut hadir,Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan penyandang kerusi Dun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak