SALCRA umum pembayaran dividen RM60.77 juta tahun ini

KUCHING: Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) mengumumkan pembayaran dividen berjumlah RM60.77 juta kepada peserta projeknya untuk tahun ini.

Pengurus Besar SALCRA Joseph Blandoi dalam kenyataannya hari ini berkata, pembayaran tersebut diluluskan pada mesyuaratnya yang dipengerusikan oleh Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Selasa.

Ujarnya, pembayaran ini adalah 80 peratus lebih tinggi daripada pembayaran RM33.10 juta pada tahun lalu.

“Sejumlah 13,176 peserta iaitu 93 peratus daripada jumlah peserta, yang tanahnya dalam pengeluaran akan menerima bayaran,” katanya.

Seperti biasa katanya, pembayaran hendaklah dibuat dalam dua peringkat; dikreditkan terus ke akaun bank peserta.

“Pembayaran pertama adalah pada bulan Januari dan yang kedua pada bulan Julai 2022,” katanya lagi.

Jelasnya, prestasi keseluruhan bagi tahun ini dipengaruhi oleh dua faktor utama iaitu pandemik Covid-19 dan harga minyak sawit.

Sementara itu, Blandoi menasihatkan semua peserta yang tanahnya sedang dalam pengeluaran untuk mengemas kini akaun bank mereka dengan Jabatan Pembangunan Peserta SALCRA.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak