Sarawak komited kekalkan Kuching ahli Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO

KUCHING: Sarawak komited untuk mengekalkan status bandar raya Kuching sebagai ahli dalam Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO menerusi Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Kerja yang ditubuhkan sebelum ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia termasuk menganjurkan pelbagai program dan insiatif yang telah dirancang sebelum ini.

“Bandar raya Kuching telah diterima sebagai ahli Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO dalam bidang Gastronomi menerusi surat rasmi pada 16 November lalu.

“Namun ini hanya permulaan bagi perjalanan yang panjang dan harus dikekalkan.

“Seperti semua ahli bandar raya ini, Kuching dijangka meletakkan agenda 2030 sebagai nadi strategi dan rancangan pembangunan masa depan terutamanya Matlamat 11 ‘Menjadikan Bandar Inklusif, Selamat dan Berdaya Tahan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata penerimaan bandar raya Kuching sebagai ahli adalah satu pencapaian yang cemerlang dan akan memberi kesan positif kepada pembangunan sosioekonomi tempatan.

“Ia juga akan meningkatkan keterlihatan dan imej positif Malaysia dan Sarawak di persada antarabangsa,” ujarnya.

Hadir sama Datuk Bandar MBKS Datuk Wee Hong Seng dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian ran Kebudayaan Hii Chang Kee.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak