Sarawak pertimbang permohonan MM2H kepada kumpulan yang berbeza

KUCHING: Sarawak akan terus menjalinkan kerjasama erat dengan negara China melalui program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Duta Khas Perdana Menteri ke China, Datuk Seri Tiong King Sing berkata perkara itu antara yang dipersetujui pada mesyuarat yang diadakan beliau bersama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semasa kunjungan hormat di sini, hari ini.

Tiong berkata, program ini bertujuan menarik pesara asing untuk menghabiskan tempoh persaraan mereka di Malaysia namun syarat sebelumnya kurang jelas dan agak mengelirukan.

Beliau berkata, sambutan program semasa telah mencetuskan kumpulan pemohon yang berbeza tanpa syarat yang jelas.

“Justeru, kerajaan akan mewujudkan semula peraturan yang lebih jelas untuk setiap kategori yang berbeza bagi tujuan persaraan, pendidikan, pelancongan perubatan dan pelaburan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambahnya lagi, pakej pembelian tanah di kawasan atau lokasi yang berbeza akan diwujudkan untuk memudahkan pemohon mencari kediaman tetap pada julat harga tertentu.

Sementera itu, Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan
bersetuju dengan kaedah yang dirancang dan menurutnya ia adalah proses yang lebih mesra rakyat.

“Malah kaedah ini juga dapat menarik pelaburan ekonomi dan meningkatkan pembangunan dengan mewujudkan persekitaran yang menarik untuk pemohon asing,” jelasnya.

Suara Sarawak