Sarawak tubuh penerbangan butik

SPAOH: Sarawak akan menubuhkan sebuah syarikat penerbangan butik di bawah Hornbill Skyways, bagi membawa kemasukan pelancong luar negara secara terus ke negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata perkhidmatan penerbangan itu akan menghubungkan hab yang strategik seperti Kuala Lumpur, Singapura, Bangkok, Jakarta dan Hong Kong.

“Dengan penerbangan ini, kita sendiri dapat membawa masuk pelancong secara terus ke Sarawak.

“Saya rasakan kita perlu ada perkhidmatan penerbangan kecil sebegini yang memuatkan seramai 100 hingga 120 penumpang secara ulang alik,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Lapangan Terbang Spaoh, di sini hari ini.

Beliau menambah dengan perkhidmatan penerbangan itu, pelancong yang hendak pergi ke Sarawak tidak perlu lagi bergantung dengan perkhidmatan penerbangan lain.

Justeru, katanya ia akan memudahkan perjalanan kerana pelancong lebih berkehendakkan penerbangan secara terus tanpa perlu transit.

“Misalnya kalau dari Hong Kong pergi ke Sarawak, mereka perlu melimpas Kuala Lumpur dan mengisi satu borang.

“Kemudian apabila sampai di Sarawak, mereka harus mengisi satu lagi borang, jadi kalau secara terus, mereka lebih senang,” katanya.

Menurut Abang Johari, berdasarkan perkiraan yang sudah dibuat, operasi penerbangan itu tidak membebankan kewangan yang begitu banyak.

Malah, katanya ia boleh terus beroperasi kerana Hornbill Skyways mempunyai lesen.

Hornbill Skyways merupakan sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan sewa pesawat serantau yang beroperasi di pekan dan kawasan luar bandar di Sarawak.

Bagaimanapun, Abang Johari berkata perancangan itu hanya dapat direalisasikan jika beliau diberikan mandat semula untuk memimpin kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) ini.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak