Satreps-Pubs bina kapasiti penyelidik muda Sarawak

KUCHING: Pelaksanaan Satreps-Pubs akan menjadi platform kepada para penyelidik di Sarawak dalam membangun dan meningkatkan keupayaan penyelidikan dengan bantuan pakar serta peralatan berteknologi tinggi dari Jepun.

Pengarah Jabatan Hutan Sarawak (JHS) Datuk Hamden Mohammad berkata, projek tersebut juga merupakan peluang untuk membina kapasiti khususnya kepada penyelidik muda di negeri ini.

“Ia boleh dicapai melalui latihan sama ada di Jepun atau Sarawak; pemindahan teknologi; melanjutkan pengajian di peringkat sarjana atau PhD di universiti tempatan atau Jepun,” katanya.

Hamden berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Pengarah JHS, Jack Liam bagi mewakili beliau sempena Majlis Perasmian Bengkel Satreps-Pubs di Hotel Imperial, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pentadbiran, Pengurusan Perkhidmatan dan Kewangan, Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Hairani Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) Zolkipli Mohamad Aton, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Biodiversiti Sarawak Dr Yeo Tiong Chia serta wakil kanan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (Jica) Kuala Lumpur Masahiko Takizawa.

Satreps adalah singkatan untuk Perkongsian Penyelidikan Sains dan Teknologi untuk Pembangunan Mampan.

Ia merupakan kerjasama antara Kerajaan Sarawak dan tiga agensi Jepun iaitu Agensi Sains dan Teknologi Jepun (JST), Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (Jica) dan Universiti Kyoto.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak