Sedia platform atlet Sarawak peroleh pendidikan tinggi

KUCHING: Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bertujuan menyediakan atlet Program Pembangunan Sarawak memperoleh pendidikan tinggi.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerjasama dengan universiti tempatan tersebut akan memberi peluang kepada para atlet melanjutkan pelajaran ke peringkat university.

“Kita melihat ramai ibu bapa yang tidak menggalakkan anak-anak mereka menceburi bidang sukan kerana berpendapat ia tiada masa depan.

“Kita akan cuba mengetepikan mitos berkenaan supaya atlet yang mewakili Sarawak mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Perasmian Pelancaran Logo Jenama ‘Sport Sarawak’ di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini, semalam.

Tambah Abdul Karim, tiada syarat yang terlalu ketat untuk atlet-atlet tersebut memasuki Unimas, tetapi beliau menggalakkan mereka mengikuti kursus yang diminati seperti sukan.

“Selain itu, SSC juga bekerjasama dengan Universiti Curtin di Miri untuk menyediakan laluan pendidikan yang sama kepada atlet Sarawak,” katanya lagi.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak