KUCHING: Sektor perhutanan di Sarawak mensasarkan pengiktirafan di peringkat global dalam pengurusan hutan tropika dan pemuliharaan biodiversiti yang mapan sekaligus meningkatkan pertumbuhan pesat industri kayu di negeri ini.
Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Datuk Zaidi Mahdi berkata, perkara tersebut selaras dengan salah satu aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak 2030 untuk menjadikan negeri ini sebagai pusat kecemerlangan dalam pemuliharaan biodiversiti.
“Strateginya adalah untuk menemui dan mendokumentasikan kepelbagaian flora dan fauna di Sarawak.
“Justeru Kerajaan Sarawak mengalu-alukan kerjasama dari negara lain, seperti projek Perkongsian Penyelidikan Sains dan Teknologi untuk Pembangunan Lestari (Satreps) ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian Bengkel Satreps-Pubs yang dibacakan oleh Ketua Pentadbiran, Pengurusan Perkhidmatan dan Kewangan, Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Hairani Mohamad Ismail di Hotel Imperial, di sini, hari ini.
Hadi sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) Zolkipli Mohamad Aton.