Sembilan pemandu mabuk ditahan dalam operasi di Kuching

KUCHING: Sembilan individu ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk yang bermula jam 10 malam hingga 2 pagi, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu memberitahu, kesemua mereka terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita masing-masing berusia 22 hingga 53 tahun ditahan dalam sekatan di Jalan Simpang Tiga, Kuching.

Menurutnya, kesemua pemandu itu gagal melepasi ujian pernafasan alat ‘Screening Device II (SD II) yang dilakukan oleh pasukan operasi di lokasi.

“Hasil ujian pernafasan kedua dengan menggunakan Mesin Evidential Breath Analyzer (EBA) untuk pengesahan kandungan alkohol dalam badan juga mendapati empat daripada pemandu terbabit positif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, seramai 173 pengguna jalan raya dengan sejumlah 115 kenderaan (25 buah motosikal, 83 motokar, 83 buah kenderaan jenis pikap) telah ditahan dan diperiksa sepanjang operasi tersebut dijalankan.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 29 keping saman Pol 257 telah dikeluarkan di bawah kesalahan pelbagai termasuk tidak memakai tali pinggang keledar, lesen tamat tempoh, gagal mengemukakan lesen, dan lain-lain kesalahan,” katanya lanjut.

TAHAN… Motosikal juga ditahan dan diperiksa dalam Op Mabuk yang dijalankan di Jalan Simpang Tiga semalam

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak