Sendiri cari masalah, lelaki dipenjara dua bulan

KUCHING: Gara-gara menghalang penjawat awam menjalankan tugas, seorang lelaki berusia 29 tahun dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh Elaster Boniface, 29, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh reman pada 30 September lepas.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang tugas seorang anggota polis di sebuah hotel terkemuka di Jalan Ithsmus, kira-kira jam 12.15 malam, 27 Jun lepas.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, pengadu yang merupakan pekerja hotel telah menerima panggilan daripada tertuduh yang menyatakan mahu mencari seorang wanita yang menginap di hotel berkenaan.

Namun demikian, pengadu menerangkan bahawa prosedur hotel tidak membenarkan mana-mana pihak untuk mencari pelanggan hotel melalui pihak pengurusan.

Tertuduh yang tidak berpuas hati lalu menghubungi pihak polis untuk membantunya mencari wanita itu tetapi anggota polis yang datang ke lokasi menerangkan bahawa dia perlu membuat laporan polis terlebih dahulu.

Kemudian, tertuduh bertindak agresif menolak salah seorang pegawai polis lalu membawa tangkapan terhadap tertuduh.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak