KUCHING: Seramai 16 individu diberkas polis disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam serbuan di Kampung Tabuan Hilir, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, semasa serbuan dilakukan beberapa orang suspek telah melarikan diri dan terjun ke dalam sungai berhampiran.
“Salah seorang suspek yang melarikan diri dengan terjun ke sungai telah lemas dan meninggal dunia serta disahkan oleh pegawai kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, serbuan dijalankan oleh sepasukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching kira-kira jam 10 pagi.
“Seramai 12 suspek lelaki warga tempatan berumur lingkungan 21 tahun hingga 44 tahun ditahan dalam serbuan tersebut.


“Selain itu, ujian saringan awal air kencing dijalankan ke atas 12 suspek didapati positif dadah jenis Amphethmine,” ujarnya.
Jelasnya, tujuh daripada 12 suspek yang ditangkap mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau dadah.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu katanya, seramai tiga lelaki dan seorang perempuan warga tempatan ditahan kira-kira jam 10.05 pagi di sebuah rumah di Kampung Tabuan Hilir.
“Pemeriksaan telah menjumpai tujuh peket plastik berwarna merah dan satu peket lutsinar di dalamnya mengandungi serbuk dan ketulan jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 9.77 gram di ruang tamu rumah tersebut.
“Ketiga-tiga suspek lelaki mempunyai rekod kesalahan lampau dadah manakala suspek perempuan tidak mempunyai rekod lampau,” katanya.
Beliau berkata, kesemua suspek ditangkap di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya1952.