Seorang maut, dua cedera dalam kemalangan tiga buah motosikal di Asajaya

KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah motosikal di Kilometer 11, Jalan Kota Samarahan/ Asajaya, di sini hari ini.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supritendan Alexson Naga Chabu berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, seorang penunggang motosikal cedera parah manakala seorang lagi penunggang motosikal cedera ringan.

Menurutnya, mangsa yang berumur 27 tahun, bergerak dari arah Kota Samarahan menuju ke Asajaya telah masuk ke laluan bertentangan.

“Mangsa bertembung dengan sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki berumur 36 tahun yang sedang bergerak lurus dari arah bertentangan iaitu dari Asajaya menuju ke arah Kota Samarahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Alexson berkata, selepas kemalangan itu, motosikal ditunggang oleh seorang lelaki yang juga berumur 27 tahun dari arah belakang penunggang motosikal, 36 turut terjatuh setelah mengelak kemalangan tersebut.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, kedua-dua penunggang motosikal di bawa ke Pusat Jantung Sarawak untuk rawatan lanjut sementara mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Motosikal mangsa hancur setelah bertembung dengan sebuah motosikal dari arah bertentangan. Mangsa, 27 tahun maut di tempat kejadian oleh pihak ambulans.

Suara Sarawak