SPR akan bincangkan pelaksanaan PRN-12 Sarawak

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak, kata Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak.

Beliau berkata SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berhubung perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkan Proklamasi Darurat (Sarawak) semalam, sebagaimana termaktub di bawah Seksyen 2(2) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021.

“Tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan oleh pihak SPR,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ikmalrudin berkata berdasarkan Seksyen 3(3) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021, Dewan Undangan Negeri hendaklah terbubar pada tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan.

“Di bawah Seksyen 3(4) Ordinan yang sama berkehendakkan suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan,” katanya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak