SPR guna Daftar Pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan bagi PRN-12 Sarawak

KUCHING: Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak adalah Daftar Pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan (DPT) ST2/2021 yang dikemaskini sehingga 2 November 2021.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata Daftar Pemilih tersebut mengandungi 1,252,014 orang pengundi yang terdiri daripada 1,228,858 orang pengundi biasa, 12,585 orang anggota tentera dan pasangan, 10,458 orang anggota polis PGA dan pasangan serta 113 orang Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

“DPPR tersebut akan mula dijual pada 1 Disember 2021 (Rabu),” katanya selepas Mesyuarat Khas bagi PRN-12 Sarawak, di sini hari ini.

Beliau berkata para pengundi boleh membuat semakan Daftar Pemilih mulai 1 Disember untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui laman portal SPR pengundi.spr.gov.my atau menghubungi talian 03-88927018 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), mana-mana badan atau individu berkelayakan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya bagi melihat perjalanan proses PRN-12 Sarawak bermula pada hari mengundi sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.

“Mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di pusat-pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi sahaja serta perlu
mematuhi kesemua syarat-syarat pelantikan yang telah ditetapkan oleh SPR,” katanya.

Katanya permohonan untuk menjadi Pemerhati Pilihan Raya boleh dikemukakan kepada SPR melalui e-mel pemerhati@spr.gov.my mulai hari ini, (24 November) dan tarikh tutup adalah pada 1 Disember.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak