Sukma 2022: Tarikh, acara sukan belum dimuktamadkan

KUCHING: Tarikh rasmi bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur dan senarai acara sukan yang akan dipertandingkan belum diputuskan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Dr Ong Kong Swee.

Beliau memberitahu, segalanya akan dapat diketahui apabila keputusan dicapai menerusi mesyuarat bersama badan induk tertinggi, Majlis Sukan Negara (MSN) dalam masa terdekat.

“Tarikh dan jenis acara sukan yang dipertandingkan untuk Sukma 2022 akan dapat diketahui selepas mesyuarat bersama pihak MSN kelak,” ujarnya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Perasmian Kejohanan Liga Sepan Takraw Kenyalang (KSL) PSS-SSC 2021 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya pagi tadi.

Katanya, antara, 16 jenis acara sukan teras yang kekal dipertandingkan adalah akuatik-terjun/renang (lelaki & wanita), badminton (lelaki & wanita), berbasikal (lelaki & wanita, bola sepak, gimnastik (lelaki & wanita) gimrama (wanita).

Turut dipertandingkan adalah hoki (lelaki & wanita), karate (lelaki & wanita), boling padang (lelaki & wanita), memanah (lelaki & wanita), menembak (lelaki & wanita), olahraga (lelaki & wanita), pencak silat (lelaki & wanita), pelayaran (lelaki & wanita), skuasy (lelaki & wanita), tenpin boling (lelaki & wanita) dan wushu (lelaki & wanita).

“15 lagi acara sukan pilihan belum diketahui nasibnya untuk dipertandingkan.

“Pihak kita juga berharap semua 15 jenis sukan pilihan akan turut dipertandingkan sama,” tambah Dr Ong lagi.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyatakan sesi latihan atlet yang terlibat dengan Sukma masih kekal diteruskan.

“Latihan semua atlet tetap diteruskan walaupun berdepan masalah pandemik Covid-19 tetapi berpandu kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan,” tambah beliau lagi.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak