Tanah perkuburan Kampung Sambir diperbesarkan, tiang telekomunikasi ditambah

ASAJAYA: Kerajaan Sarawak membayar pampasan sejumlah RM1,307,967.50 kepada 13 pemilik tanah di Kampung Sambir berikutan pengambilan tanah untuk tujuan memperbesarkan tanah perkuburan dan pembangunan tiang telekomunikasi.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pembesaran tanah perkuburan dan pembangunan tiang telekomunikasi di kampung itu diambil susulan mendapat permintaan daripada penduduk kampung itu sendiri.

Jelasnya, ini akan menyaksikan kerajaan negeri sebagai kerajaan yang komited dan bersikap secara profesional dengan bertindak membayar pampasan kepada tuan tanah terlebih dahulu sebelum ia digunakan untuk kebajikan rakyat.

“Bagi pampasan pengambilan tanah sebagai pembesaran tanah perkuburan di Kampung Sambir, ia diberi kepada 11 penerima, manakala dua lagi penerima bagi tujuan infrastruktur tiang telekomunikasi.

“Ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri prihatin untuk membayar pampasan dari segi pembangunan jalan raya, sistem perparitan mahupun perkuburan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyerahan pampasan pengambilan pembesaran tanah perkuburan Kampung Sambir oleh Jabatan Tanah dan Survei, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyeru kepada penduduk Asjaya untuk bersabar terhadap proses baik pulih jalan raya yang kini sedang dijalankan di sekitar kawasan tersebut.

Selain itu katanya, penduduk di kawasan berdekatan perlu mengambil langkah berjaga-jaga berikutan terdapat beberapa jalan di kawasan itu dilintasi jentera berat yang terlibat bagi penyelenggaraan jalan raya.

Tegasnya, usaha baik pulih jalan itu telah dipertanggungjawabkan kepada pihak kontraktor yang telah dikenal pasti untuk memastikan proses pembinaan dapat dilakukan dengan sebaik mungkin.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak