Tanah runtuh halang laluan ke pekan Pakan

PAKAN: Laluan ke pekan Pakan terputus disebabkan tanah runtuh berhampiran Simpang Genting Kopi di sini, malam tadi.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam insiden kira-kira jam 8.50 malam itu.

Ketua Balai dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan bantuan pada jam 9.03 malam.

“Sampai di tempat kejadian, kita mendapati tanah runtuh setinggi kira-kira satu meter menutupi keseluruhan jalan raya dengan lebar lebih kurang 10 meter.

“Lokasi kejadian dianggarkan kira-kira 90 meter daripada Simpang Tubai Buah, Pakan.

“Runtuhan tanah itu mengakibatkan laluan jalan raya tersebut terputus namun, pengguna jalan raya yang hendak ke pekan Pakan masih boleh menggunakan Jalan Pakan yang baharu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tiada sebarang operasi dilakukan di lokasi dan pasukan bomba hanya memantau kawasan persekitaran tanah runtuh tersebut bagi memastikan keselamatan penduduk setempat.

Pada masa sama, katanya Rumah Jantan yang terletak di atas bukit berhampiran kejadian berkenaan didapati selamat.

Selain itu, Nicholas berkata sebatang tiang Telekom turut tumbang di atas jalan raya berhampiran Simpang Semukau.

Katanya tiang itu kemudian dialihkan ke tepi jalan raya oleh pasukan bomba.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak