Tarikan baharu Oya

OYA: Projek Pengawalan Hakisan Pantai Kampung Kuala Hilir Oya dirasmikan oleh Menteri Kebajikan, Kesejateraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Projek berkenaan difahamkan sudah mula dilaksanakan oleh Kontaktor Kurnia Resources Sdn Bhd dan bakal siap menjelang 2023, manakala Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak akan menjadi badan pelaksana projek. Menurut Fatimah, projek mega dengan kos RM14.4 juta itu melibatkan pembinaan benteng batuan hakisan sepanjang 1.4 kilometer, tempat pejalan kaki dan beberapa kemudahan lain.

Katanya, ia bakal menjadi tempat tarikan terbaharu di Oya, sekali gus melonjakkan sektor pelancongan serta ekonomi setempat apabila siap kelak, pelbagai kemudahan asas turut ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Inilah yang kita hasratkan. Satu lagi tempat yang akan menjadi tarikan pelancong dalaman dan dari luar.

“Jadi kita perlu menyediakan kemudahan bukan sahaja sebagai tarikan pelancong tetapi juga menjadi tempat riadah bagi peminat pantai ini.

“Tambahan ia juga dekat dengan Pekan Sabtu selain kawasan pantai ini juga menjadi tempat untuk diadakan Pesta Kaul Oya.

“Apabila siap kelak, maka ada diwujudkan juga kemudahan riadah dan untuk tujuan pelancongan dan sukan pantai untuk para belia khasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Tapak Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Kampung Kuala Hilir Oya Jumaat.

Tambah Fatimah lagi, pembinaan benteng hakisan berkenaan bukan sahaja mengelakkan hakisan pantai tetapi turut menghalang segala sampah dari laut termasuk kayu memasuki kawasan pandai. Dalam majlis tersebut, Fatimah bersama-sama pihak kontraktor dan beberapa ketua komuniti di Oya turut turun padang melihat sendiri tapak Pantai Oya yang bakal dibina benteng hakisan berkenaan.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak