TDM, TNI-AD mengadakan latihan Gabungan Bersama

SRI AMAN: Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI-AD) mengadakan latihan Gabungan Bersama selama 12 hari bermula 22 November sehingga 2 Disember.

TDM dalam kenyataan berkata, Eksesais Keris Kartika Malaysia & Indonesia (KEKAR MALINDO) Siri 44AB/2021 merupakan latihan Gabungan Bersama di antara Briged Ketiga Infantri Malaysia bersama Brigade Infanteri 19/Khatulistiwa yang diadakan di sekitar kawasan Sri Aman, Engkelili, Lubok Antu dan Semanju.

Jelasnya, eksesais ini merupakan latihan bilateral yang diadakan setiap tahun yang melibatkan dua fasa iaitu Eksesais Pos Pemerintah dan Eksesais Trup Medan yang melibatkan 17 pegawai dan 344 anggota pasukan Batalion ke 13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13 RAMD) mewakili TDM

Manakala katanya, TNI-AD diwakili pasukan YONIF Raider 641 Beruang yang terdiri daripada 10 pegawai bersama 122 anggota lain-lain pangkat.

“Objektif eksesais ini bertujuan menguji pemerintah dan pegawai staf di peringkat batalion infantri dan pasukan gabungan dalam operasi gabungan, meningkatkan keupayaan kedua-dua pihak bagi melaksanakan operasi dalam konteks peperangan konvensional.

“Di samping itu, ia mengeratkan semangat setiakawan serta perhubungan erat antara kedua-dua negara agar berterusan selain dapat meningkatkan kesiagaan ketenteraan bagi menghadapi sebarang ancaman musuh yang mendatang.

Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Mohd Kamil Abdul Latiff menyempurnakan majlis pembukaan yang telah diadakan di Kem Pakit, Sri Aman dan turut dihadiri Brigadir Jenderal TNI Djauhari, S. E., Kepala Staf KODAM XII/ Tanjungpura.

 

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak