Terajang adik angkat, lelaki dipenjara 10 bulan

KUCHING: Gara-gara terajang adik angkat dan memecahkan cermin kereta milik ibunya, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 10 bulan atau denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap Elvin Thomas Nuing, 22, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibaca seorang jurubahasa di hadapannya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mencederakan adik angkat dengan memukul dan menerajang adik angkat perempuannya yang berusia 11 tahun.

Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana memecahkan cermin hadapan kereta milik ibunya Jenny Gani,42, menggunakan gelas kaca hingga mengalami kerugian berjumlah RM500.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara setahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Difahamkan, tertuduh mengaku dia terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan bergaduh dengan adik angkatnya hingga menyebabkan insiden mengamuk.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak