Tiada SOP berbeza untuk parti GPS dan pembangkang: Abdul Karim

BAU: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menafikan tidak ada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan undang-undang khas untuk parti Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sebaliknya beliau percaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai SOP dan undang-undang yang terpakai bagi semua parti termasuk pembangkang.

“Seperti yang dikatakan oleh Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, beliau memberitahu bahawa SOP yang telah diketatkan seperti memberi kesulitan kepada pembangkang.

“Namun, saya percaya apa yang telah ditetapkan untuk GPS juga ditetapkan untuk parti pembangkang. Tiada beza,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang menyuarakan pilihan raya ini sebagai tidak adil, dalam kenyataannya pada Sabtu lalu.

Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Pelancongan Sarawak mendedahkan, SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dalam PRN Melaka mungkin akan digunakan di PRN Sarawak nanti.

“Antaranya ialah tidak boleh berkempen rumah ke rumah dan tidak boleh mengadakan perhimpunan.

“Ini yang menyebabkan Chong mengeluarkan kenyataan tersebut yang mengatakan bahawa kaki kami kena ikat, tangan kami kena ikat dan pilihan raya ini adalah pilihan raya yang tidak adil,” katanya lagi.

Suara Sarawak